BN pertaruh Ketua Pemuda UMNO Kluang di PRK Mahkota

Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat pengumuman itu sebentar tadi selepas mendapat restu daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lebih 5,000 penyokong BN dan Umno serta PH bersorak menyambut pengumuman itu walaupun berlangsung dalam hujan.

Syed Hussien yang merupakan anak jati Kluang dan dididik dalam keluarga politik menyertai Umno pada usia 18 tahun.

PRK DUN Mahkota pada 28 September ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, dari BN pada 2 Ogos lalu.

Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993, memenangi kerusi DUN Mahkota selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada PRN Mac 2022.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

BACA JUGA Air melimpah di Kedah, empat kampung dilanda banjir kilat