Ini sebabnya polis pantau Global Ikhwan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau Global Ikhwan Sdn Bhd yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan empat laporan terbaharu yang diterima di Selangor.

Jelasnya, PDRM juga sedang mengumpulkan statistik laporan polis di seluruh negara membabitkan syarikat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 32 (A) Akta Kanak-Kanak 2001.

“… mereka eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana derma dan sebagainya. Mungkin ada lagi laporan lain yang kita sedang kumpulkan,” katanya hari ini.

Ayob Khan berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Awam ke-20 tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

Menurutnya, modus operandi syarikat itu dikesan banyak menubuhkan rumah amal kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Jelasnya, syarikat berkenaan adalah serpihan sebuah pertubuhan ajaran sesat diharamkan sebelum ini yang berada dalam senarai 114 kumpulan ajaran sesat dipantau Pasukan Cawangan Khas PDRM.

“Ada juga maklumat mengatakan mereka tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)… tidak bayar gaji, selain mengenakan tindakan kuarantin sekiranya ahli melakukan kesalahan kecil.

“Ahli kumpulan sesat merangkumi semua orang termasuk seperti golongan profesional. Pengaruh mereka tersebar luas. Kalau kita tidak kuat, mungkin akan terpengaruh,” katanya lagi.

BACA JUGA BN pertaruh Ketua Pemuda UMNO Kluang di PRK Mahkota