Lebih sebulan ‘diperam’, MoU peruntukan pembangkang mungkin diputuskan 9 September ini

Selepas lebih sebulan draf memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan pembangkang ‘diperam’, berkemungkinan besar ia akan diputuskan pada 9 September ini.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua ahli Parlimen PN dipanggil untuk bermesyuarat bersama Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum menentukan keputusan itu.

“Kita bincang sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau bersetuju dengan bersyarat.

“Isnin ini (9 September) akan diputuskan semasa mesyuarat, kita berharap begitulah,” katanya pada sidang media selepas Program Kota Bharu Kahf Marathon di Dewan Jubli Perak di Kota Bharu hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu enggan mendedahkan isi kandungan dokumen itu kerana ia adalah rahsia antara pembangkang dan kerajaan.

Menurutnya, ia masih dalam perbincangan dan pembangkang menghormati pihak yang terlibat.

Beliau menambah antara isu penting dalam pertemuan yang dijangka berlangsung pada 9 September itu ialah syarat draf MoU yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim secara prinsipnya bersetuju memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sama seperti diberikan kepada ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu untuk membincangkan kaedah terbaik selain mencari titik persefahaman.

Sehubungan itu, kerajaan pada 3 Ogos lalu sudah menyiapkan kerangka MoU bagi ahli Parlimen pembangkang dengan tumpuan membangunkan dan memulihkan ekonomi negara bersama- sama demi kesejahteraan rakyat.

Namun, pada 2 September lalu, Takiyuddin menyifatkan kandungan MoU tersebut sebagai ‘pelik sikit’ apabila meletakkan tujuh syarat.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, draf yang belum dibincangkan secara mendalam itu meletakkan beberapa syarat yang mesti dipersetujui sebelum perjanjian itu dimeterai.

Jelasnya, antara aspek yang ditekankan oleh pihak kerajaan kepada pembangkang ialah pengisytiharan harta.

BACA JUGA Kunci sajalah mulut dan jari, prestasi PM Anwar di pentas dunia teruji

Â