Belum penamaan calon, Annuar Musa sudah yakin BN menang besar di Mahkota

Hari penamaan calon PRK Mahkota belum tiba lagi tetapi ahli jawatankuasa Pas Pusat Tan Sri Annuar Musa sudah pun meramalkan kemenangan BN di kerusi DUN Johor tersebut.

“Majoriti BN dlm PRK kali ini pastinya melebihi 20,000 undi dan ia manifestasi kejayaan jajaran baru mereka bersama “Kerajaan Perpaduan”, katanya dalam satu hantaran Facebook.

Ramalan beliau adalah berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Johor yang lalu dan jajaran politik yang menjadikan DUN Mahkota kubu terkuat BN-PH Johor.

“Keputusan PRN Johor yang lepas, menunjukkan BN beroleh lebih 16,000 undi,manakala PH beroleh lebih dari 11,000 undi..Jumlah undi BN PH MADANI sudah ada hampir 28000 undi.
Ini menjadikan MAHKOTA kubu terkuat BN PH MADANI di Johor.

Beliau turut menjangkakan majoriti yang diperoleh oleh BN melebihi 30,000 undi.

“Apalagi dalam PRK , dengan segala jentera Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yg sudah pun di kerahkan bekerja utk “team perpaduan”Madani.Di jangkakan BN dengan mudah menambah undi mereka seperti di Nenggiri. Mungkin melebihi 30,000 undi.

“PN bermodalkan hanya 7000 undi sahaja di PRN lalu..Lebih 20,000 undi lebih rendah dari undi diperolehi BN-PH.”

Semalam BN menamakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon.

PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Kerusi ini akan ditanding oleh calon Bersatu bagi pihak PN.