Malaysia ketinggalan jika hanya bincang soal remeh temeh, PM tuju kepada siapa?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan ketinggalan di belakang jika semua pihak bergaduh dan membincangkan isu yang remeh temeh.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Malaysia akan muncul semula sebagai negara yang hebat.

“Orang-orang yang kabur mungkin tidak lihat persaingan yang berlaku di sekitar kita. Tapi kalau saudara sentiasa cerdas dan segar melihat, bahawa orang lain tidak diam.

“Kita kalau kekal cara lembab, bergaduh, bincang soal-soal remeh, itu akan menyebabkan kita ketinggalan.

“Jadi mari kita tumpukan kepada usaha menjadikan Malaysia ini negara yang hebat.

“Sebab itu kita kena teruskan (usaha). Sikap saya dan rakan-rakan, kita tidak peduli sangat dengan gangguan-gangguan kecil ini,” katanya ketika melancarkan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) hari ini.

PIKAS 2030 merupakan kesinambungan daripada dasar dan garis panduan kerjasama awam-swasta sedia ada yang telah diberi nilai tambah dengan hala tuju yang lebih jelas dan terangkum.

Melalui projek kerjasama awam-swasta, kerajaan menjangkakan peningkatan pelaburan swasta kepada RM78 bilion, sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM82 bilion, dan penciptaan 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030

Bagi memastikan pencapaian matlamat itu, PIKAS 2030 dibangunkan berdasarkan empat teras strategik dan 17 inisiatif strategik.

BACA JUGA PRK Mahkota: Semua pimpinan DAP Johor akan bantu kempen calon BN