Jangan jadikan isu sijil halal sebagai dorongan kebencian kaum, agama

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pensijilan halal dan tidak menjadikan ia sebagai dorongan kebencian kaum dan agama di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, tidak timbul soal paksaan atau bebanan penyediaan keperluan halal.

Menurutnya, pensijilan halal asalnya tanggungjawab Muslim yang mahukan keberkatan hidup mematuhi syariat tetapi keberkatan tersebut kini merentas kepada satu keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan.

“Hentikan pertikaian yang tidak produktif demi kita mengangkat industri halal negara ke tahap global dan berhentilah dari mencetuskan isu sensitif agama kerana isu halal adalah juga paksi kehidupan umat Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di media sosial, berhubung berhubung proses pensijilan halal mengundang kritikan banyak pihak termasuk dari Pemuda UMNO.

Teresa menyatakan pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan mengikut permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak kenyataan Teresa malah menyifatkan pemimpin DAP berkenaan sebagai ‘nyonya tua’ dan meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi Teresa.

Reaksi kemudian berlarutan apabila Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menganggap kenyataan Dr Muhamad Akmal itu sebagai biadab kerana mengeluarkan kenyataan yang bersifat seksis dan misoginis terhadap Teresa.

BACA JUGA Raja Petra meninggal dunia di UK