Ketua KSN baharu amat terguris kes guru hina Orang Asli
Ketua Setiausaha Negara yang baharu, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan rasa amat terguris dengan tindakan seorang guru sebuah sekolah yang membuat komen menghina terhadap penduduk Orang Asli di media sosial.
Beliau berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjawat awam sekiranya benar menghayati nilai hormat dalam prinsip MADANI.
“Saya amat terguris dengan perlakuan seorang guru di sebuah sekolah yang pada baru-baru ini dilaporkan membuat komen menghina Orang Asli di media sosial susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
“Bagi saya, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjawat awam sekiranya kita benar-benar menghayati nilai hormat dalam prinsip MADANI.
“Dalam erti kata lain, perkara paling asas ialah pembentukan nilai dalam diri kita penjawat awam sendiri,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat sulung dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara 2024, hari ini.
Tambah Shamsul Azri, demi menjunjung hasrat “government of the day”, rencana dan agenda perkhidmatan awam tidak boleh tersasar daripada aspirasi nasional ini.
Justeru katanya, sebagai kumpulan yang sentiasa diperhatikan oleh masyarakat umum, kita mesti menjadi suri teladan yang baik kepada rakyat dalam menjayakan gagasan “Malaysia Madani”.
Sebelum ini Harapan Daily melaporkan seorang guru yang mengajar di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Negeri Sembilan didakwa mengeluarkan komen yang kurang menyenangkan kepada penduduk orang Asli.
Ayat merendahkan penduduk itu dipercayai kerana parti yang disokongnya kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Dalam satu tangkap layar tular di Facebook, guru yang dikenali sebagai Asiah meninggalkan komen pada sebuah video politik dengan menulis “taraf-taraf orang asli je lah penyokong BN UMDap ni”.
Bagaimanapun, cikgu berkenaan telah pun memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
BACA JUGA Bersatu terkilan, kecewa Annuar angkat bendera putih di Mahkota sebelum pencalonan