Warga emas meninggal 4 tahun dalam rumah terbiar, tak dijenguk anak

Kecoh di media sosial apabila penduduk di sebuah pangsapuri di Kepong menemui rangka manusia warga emas yang dipercayai sudah meninggal empat tahun lalu.

Dalam satu perkongsian tular, warga emas itu dikatakan seorang guru mengaji untuk anak-anak kuarters.

Penemuan rangka itu disedari hanya selepas anaknya datang ke rumah itu.

“Mangsa seorang lelaki berusia umur lingkungan 60 an, tinggal seorang diri (bercerai). Mengajar ngaji anak-anak kuaters. 

“Tiada siapa yang tahu dia meninggal dalam 4 tahun. Anak-anak pun tak mencari. Komuniti pun tak sedar.

“Beliiau pernah maklum dengan orang surau tentang hajat nak balik ke kampung, dengan makluman trsebut rakan dan orang surau beranggapan arwah berehat panjang di kampung halaman. 

“Sehinggakan anak arwah datang mencari dan pihak JMB terpaksa mengompel kunci unit untuk melihat keadaan rumah,” kata pengguna Facebook Muhd Azmy.

Lebih mengejutkan, penduduk mendakwa tidak pernah terhidu bau busuk sepanjang empat tahun mayat tersebut mereput di dalam rumah.

“Ramai yang terkejut kerana tiada siapa yang mengetahui dan tiada bau busuk pun di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan perkara itu dan memaklumkan polis menerima laporan daripada lelaki yang juga anak mangsa pada 5 September lalu.

BACA JUGA 40 syarikat China beri komitmen melabur industri halal berjumlah RM4 bilion