Lesap hampir RM100,000 selepas buat 26 kali pemindahan wang

Seorang warga emas berusia 85 tahun terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud apabila membuat pemindahan wang sebanyak 26 kali ke akaun bank suspek.

Akibatnya, lelaki itu lesap hampir RM100,000 setelah menerima pesanan iklan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 29 Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu itu telah ditawarkan pakej pelaburan ‘Madinah Emas’ yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

“Mangsa ditawarkan pakej VIP (orang kenamaan) dengan modal RM500 dan dijanjikan pulangan untung sebanyak RM15,800 dalam tempoh empat jam.

“Mangsa yang gelap mata dengan tawaran itu membuat pemindahan wang sebanyak 26 kali ke enam akaun bank berasingan seperti diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, setelah membuat transaksi, mangsa yang menunggu sekian lama berasa kecewa kerana tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Dia kemudiannya membuat laporan polis pada 9 September lalu selepas berasa tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Azli mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dan membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

BACA JUGA Harga RON97 dan diesel terus turun setiap minggu, esok berkurang 15 sen