Mahu melancong atau transit di UK tahun depan, ini rakyat Malaysia perlu buat

Rakyat Malaysia yang melancong atau transit di United Kingdom (UK) mulai 8 Januari tahun depan perlu mendapatkan Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA).

Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur berkata, ETA adalah kebenaran digital untuk perjalanan bagi pelawat yang pada masa ini tidak memerlukan visa untuk penginapan singkat, atau yang belum mempunyai status imigresen UK sebelum memulakan perjalanan.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu menjelaskan bahawa ETA berharga GBP10 dan membenarkan perjalanan ke UK untuk penginapan sehingga enam bulan pada satu masa selama dua tahun atau sehingga pasport pemegangnya tamat tempoh, yang mana lebih awal.

“UK kini melancarkan ETA ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Pengenalan ETA adalah selaras dengan pendekatan yang telah diambil oleh banyak negara lain (seperti AS dan Australia) untuk mengukuhkan keselamatan sempadan.

“Ia akan menyumbang ke arah menyampaikan sistem imigresen digital yang lebih diperkemas yang akan menjadi lebih cepat dan selamat untuk berjuta-juta orang yang melalui sempadan UK setiap tahun,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, ETA bukan visa UK dan rakyat Malaysia yang akan tinggal di UK selama lebih enam bulan, contohnya untuk belajar atau bekerja, masih dikehendaki memohon visa yang berkaitan; tetapi individu yang mempunyai visa UK yang sah tidak memerlukan ETA.

Pengembara Malaysia boleh membuat permohonan lebih awal mulai 27 November 2024 dan seterusnya melalui “aplikasi ETA UK” dan di laman sesawang GOV.UK (www.gov.uk/guidance/apply-for-an-electronic-travel-authorisation-eta).

BACA JUGA Harga RON97 dan diesel terus turun setiap minggu, esok berkurang 15 sen