Model kenderaan dari empat syarikat pengeluar ini dipanggil JPJ
Pemilik kenderaan daripada empat syarikat pengeluar iaitu Toyota, Mercedes-Benz, Suzuki dan Honda digesa mengambil tindakan segera.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pemanggilan semula siri 3/2024, antaranya model kenderaan Toyota, Vios tahun pengeluaran Mac 2023 hingga Februari 2024.
Motosikal Suzuki pula membabitkan Model V-STROM800DE tahun pengeluaran 2023 dan model Burgman Street EX tahun pengeluaran 2024.
Menerusi makluman di laman media sosial rasmi JPJ, motosikal Honda membabitkan model CBR250RR CBR250S3A tahun pengeluaran 2022.
Sementara itu, kenderaan buatan Mercedes-Benz terbabit antaranya ialah model A 200; A 250; A 250 4MATIC; AMG 45 S 4MATIC; AMG CLA 45 S 4MATIC; B 200; CLA 200 COUPE dan CLA 250 COUPE.
Kesemuanya itu membabitkan tahun pengeluaran 2017 hingga 2024.
JPJ berkata, sejak Julai 2024 hingga September 2024, aktiviti pemanggilan semula produk sedang dijalankan oleh pengeluar kenderaan berkenaan.
Jelasnya, pengeluar kenderaan itu akan menghubungi pemilik kenderaan yang berkenaan untuk membuat penetapan tarikh temujanji serta membawa kenderaan untuk pemeriksaan.
Aktiviti pemanggilan semula produk itu, kata JPJ, penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau peralatan yang ada pada kenderaan berkenaan.
“Keselamatan kenderaan juga adalah penting bagi menjamin pemanduan dan keselesaan pemilik semasa dalam perjalanan.
“Semestinya, pemilik tidak mahu memandu kenderaan dengan masalah teknikal yang berpotensi membahayakan, mengancam nyawa dan pengeluar akan membuat pemulihan tanpa sebarang kos kepada pemilik,” kata JPJ.
Dalam masa sama, JPJ berharap kerjasama antara pemilik-pemilik kenderaan dan juga pengeluar dapat menjayakan aktiviti pemanggilan semula itu supaya penamatan aktiviti pemanggilan semula dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
BACA JUGA Raja Petra tinggalkan kita dengan mesej penting