‘Otak kau ada tak?’, Diva AA berkemban amukkan KJ dan Hot FM

Pengacara sensasi, Diva AA tampil berkemban sambil mengamuk dan memaki hamun penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin yang juga dipanggil KJ.

Diva AA atau nama sebenarnya Azwan Ali menyelar tindakan KJ mempersenda dengan meniru gaya ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kau ingat kau menantu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi – bekas Perdana Menteri kelima), kau boleh buat sesuka hati.

“Hot FM pun kau buat (macam) rumah mak bapak kau. Tak boleh! Itu radio.

“Kalau pengurusan Hot FM tak ajar kau, mari sini aku ajar. Kau fight dengan aku sekarang.

“Apa masalah kau?” pekik Diva AA menerusi rakaman video yang dikongsinya di TikTok.

KJ dan Hot FM mengundang kecaman orang ramai.

Pernah mendedahkan dirinya terkena sihir buatan orang gara-gara ‘bermulut laser’, Diva AA mengakui walaupun ‘tidak suka’ Anwar, beliau tidak mengutuk Perdana Menteri dalam siaran langsung.

“Kau (Khairy) guna otak. Otak kau ada tak? DJ-DJ Hot FM pun bantai mengilai ketawa,” bentaknya lagi.

Dalam masa sama, Diva AA, 58, turut memarahi pengurusan Hot FM yang setakat ini tidak mengeluarkan permohonan maaf atas keterlanjuran penyampai radio stesen itu.

Adik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan juga berpendapat di sebalik sindiran KJ itu, jutaan orang menyokong Perdana Menteri Anwar.

“Yang aku nak marah ni, KJ dan pengurusan Hot FM. Minta maaflah!” tambah Diva AA lagi.

Dalam hal berkaitan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perbuatan KJ itu boleh dirujuk dengan Media Prima iaitu syarikat naungan stesen radio Hot FM.

“Ini (isu ini) boleh rujuk dengan Media Prima, ia bukan agensi saya,” katanya ringkas selepas ditanya wartawan pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Kelmarin, KJ dalam konti radio Hot FM menyindir Perdana Menteri Anwar apabila menyebut “saudara-saudara, kalau menang hari ni, esok…kita makan ramai-ramai.”

Sindirannya itu ketika bercakap tentang kemungkinan bekas Ketua Pemuda UMNO berkenaan memenangi undian untuk Anugerah Bintang Popular anjuran Berita Harian, Oktober depan.

Aksi spontan KJ itu diikuti ketawa berdekah-dekah penyampai Fara Fauzana (Fafau) dan Johan Raja Lawak.

“Saya ulang!” sambung KJ lagi disusuli ketawa berterusan daripada Fafau dan Johan.

BACA JUGA ‘Boleh rujuk dengan Media Prima’ – Fahmi