Yusoff Rawther sah direman hingga esok
Polis Kuala Lumpur mengesahkan penahanan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther di Jalan Bukit Kiara.
Lelaki itu ditahan selepas polis menemui dua pistol tiruan dan dadah dalam kenderaan dinaikinya.
Dia disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, individu berkenaan ditahan Jumaat lalu selepas pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaannya menemui barang salah.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua pistol tiruan dan satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja di dalam kenderaan suspek.
“Permohonan reman dibenarkan selama enam hari sehingga esok. Polis memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya, memetik BH.
Sebelum ini, bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther dilapor ditahan sejak 6 September lalu.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Yusoff telah menyatakan secara jelas kepada pihak berkuasa bahawa pistol dan 305 gram dadah disyaki ganja bukan miliknya dan tiada kena mengena dengan barangan terlarang berkenaan.
Tambah Rafique, ujian saringan air kencing Yusoff juga negatif.
BACA JUGA ‘Otak kau ada tak?’, Diva AA berkemban amukkan KJ dan Hot FM