Ditetak lebih lapan kali, pedang samurai ragut nyawa bekas pelumba GP negara
Maut dipercayai akibat ditetak lebih lapan kali dengan pedang samurai di Perlis.
Itu nasib dialami bekas pelumba negara yang pernah mencipta nama peringkat antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias, 40.
Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara itu yang terbabit dalam pergaduhan di Kangar sekitar antara jam 9 hingga 10 malam pada 10 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar.
Menurutnya, polis menerima maklumat sekitar jam 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan di taman perumahan tersebut.
“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.
“Namun, mangsa (Elly Idzlianizar) meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kangar.
Polis turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter (cm) yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.
“Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan dimana satu kesa tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.
“Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk termasuklah saluran darah di bahagian tangan mangsa cedera parah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Jelasnya, mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru (gambar atas) namun suspek bagaimanapun tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya sahaja yang ada.
“Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.
“Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti semalam namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat,” katanya yang turut menunjukkan kesan darah pada kereta mangsa.
Menurut Yusharifuddin, pihaknya turut menyiasat jika wujud unsur kongsi gelap dan gangster dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
“Daripada saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah manakala semakan kita mendapati suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.
“Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah manakala suspek ketiga yang berusia 31 tahun yang juga anak kepada suspek pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah,” jelasnya lagi.
BACA JUGA Pemuda AMANAH, UMNO berang kanak-kanak dianiaya, desak Global Ikhwan diharamkan