Kenapa pelaburan diumum MITI dan DOSM tak sama? Ini penjelasan Rafizi 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli buat kesekian kalinya menjelaskan tentang jumlah pelaburan sebenar ke Malaysia yang didakwa bercanggah.

Pada 2023, Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) mengumumkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan adalah sebanyak RM188 bilion.

Namun statistik FDI yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun lepas hanyalah RM40 bilion.

Menjelaskan tuduhan kerajaan memanipulasi data, Rafizi dalam satu hantaran di X berkata, angka FDI yang dilaporkan oleh MITI dan DOSM sebenarnya merujuk kepada dua perkara yang berlainan.

Kata Rafizi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia MIDA) bertanggungjawab meluluskan permohonan pelaburan asing di negara ini, manakala DOSM pula bertanggungjawab mengeluarkan statistik jumlah FDI yang berjaya dibawa masuk dan sedang berjalan pada tahun itu.

“Eh siapa yang betul ni? Ni Rafizi sabotaj Tengku Zafrul ke?

“MITI melalui MIDA bertanggungjawab meluluskan permohonan pelaburan asing di negara ini. Pelabur perlu mendapat kelulusan MIDA sebelum melabur untuk mendapatkan lesen mengilang dan kelayakan insentif.

“Angka yang diumumkan MIDA adalah pelaburan asing yang diluluskan bagi tahun itu.

“Tetapi pelabur akan mengambil masa untuk membina kilang dan mula beroperasi, bergantung kepada pelan perniagaan mereka. 

“Selalunya pelabur mengambil masa antara dua hingga empat tahun untuk mula beroperasi dan modal mereka dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat,” katanya.

Apabila modal dibawa masuk, kata Rafizi, ia memasuki sistem perbankan negara dan mempunyai kesan kepada pelbagai statistik rasmi negara, termasuklah imbangan pembayaran.

“DOSM pula bertanggungjawab mengeluarkan statistik melaporkan jumlah FDI yang telah dibawa masuk setiap tahun.

“Maknanya, angka MITI menunjukkan jumlah keseluruhan FDI yang diluluskan tetapi akan dilaksanakan dalam beberapa tahun akan datang.

“…dan angka DOSM menunjukkan FDI tahunan yang masuk bagi projek-projek yang sedang berjalan. 

“Sebenarnya boleh sahaja semak di ChatGPT untuk mengetahui perbezaan ini tanpa perlu melemparkan fitnah kononnya kerajaan menipu,” katanya lagi.

BACA JUGA Harga RON97 dan diesel terus turun setiap minggu, esok berkurang 15 sen