Kenyataan Hanipa bukan wakili pendirian AMANAH

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pandangan Mohamed Hanipa Maidin berhubung isu melibatkan Ong Ing Keong bukan mewakili pendirian parti.

Beliau berkata, kenyataan Hanipa berhubung isu melibatkan pemandu e-hailing pekak itu adalah pandangan peribadi bekas Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) berkenaan.

Faiz yang juga peguam berkata, AMANAH menghormati pandangan peribadi setiap ahli selaras dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan AMANAH yakin setiap siasatan kes dikendalikan oleh pihak berkuasa secara adil dan telus, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law).

“AMANAH menegaskan dasar dan tata kelola Kerajaan Perpaduan adalah di dalam landasan tepat membawa negara ini ke aras lebih progresif dan cemerlang.

“Justeru, keutuhan kerajaan Perpaduan akan sentiasa menjadi agenda utama AMANAH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hanipa Maidin

Terdahulu, Hanipa dilapor memberi bayangan akan mempertimbang untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika beliau merupakan Presiden AMANAH.

Hal ini kerana bekas Ahli Parlimen Sepang berkenaan menganggap keadilan masih sukar dicapai dalam kes Ing Keong yang diserang oleh anggota polis pengiring.

Ujarnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mendesak mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan jika menerajui AMANAH.

“Jika saya Presiden AMANAH (yang saya tidak berminat dan tidak layak), saya akan mendesak EGM untuk mengundi sama ada untuk kekal atau keluar daripada kerajaan perpaduan.

“Jika saya Peguam Negara (yang saya tidak berminat dan tidak layak), saya akan mendakwa pelaku jenayah yang didakwa tanpa takut atau pilih kasih, Insya-Allah,” kata Hanipa, memetik Malaysiakini.

Dalam hal berkaitan, penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N. Surendran berkata, serangan yang melibatkan anggota polis pengiring diraja terhadap Ing Keong sudah lebih 100 hari berlalu.

BACA JUGA ‘Otak kau ada tak?’, Diva AA berkemban amukkan KJ dan Hot FM