Kaitkan bala Allah dengan DAP: Syahredzan, Rara sekolahkan Pas

Dua pemimpin DAP menempelak perwakilan Pemuda Pas Kawasan Machang, Mohd Sharif Mohd Azhari yang tiba-tiba mengaitkan “kejahatan DAP” sebagai punca datangnya bala Allah di Masjid India.

Mohd Sharif mentafsir kejadian lubang benam berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini sebagai tanda bala dari Allah SWT. 

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menempelak kenyataan itu, menyifatkan ia sudah melampaui batas.

Beliau menegaskan tidak patut mana-mana pihak mengmbil kesempatan ke atas tragedi lubang benam, atau mana-mana musibah untuk menyerang seteru politik mereka.

Sebagai ahli politik muda katanya, sepatutnya perwakilan tersebut membawa politik baharu untuk bersaing dengan sihat dan memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan. 

“Malangnya, Pas sekali kali membuktikan bahawa mereka masih terperangkap dengan polemik dan retorik politik lapuk dan melampau,” katanya menerusi X.

Sementara itu Ahli Parlimen Bentong, Young Shefura mendesak Mohd Sharif menarik balik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf atas ucapan tidak bertanggungjawab.

Beliau berpandangan mengaitkan tragedi lubang benam dengan perbuatan DAP adalah kenyataan berniat jahat yang cuba menimbulkan fitnah dan sangkaan buruk terhadap sesuatu yang bukan di bawah pengetahuan mereka. 

“Adalah tidak munasabah mengaitkan bencana dengan bala Allah yang hanya dalam pengetahuan yang Maha Esa.

“Serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan. Kita tidak berhak membuat penghakiman yang semberono seperti ini.

“Saya minta Saudara Sharif untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut,” katanya.

Terdahulu, pemimpin Pas itu menyalahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur dalam isu terjadinya lubang benam.

Dia bagaimanapun tidak menyebut menteri mana yang dimaksudkan dalam kenyataannya, namun KLCC dibina ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

Dia juga secara tiba-tiba mengaitkan kejadian itu sebagai satu bala sekiranya tidak disekat kejahatan DAP.

“DAP ini jahat, buat kerja jahat dan kita biarkan dan kita kena sebut perkara ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

BACA JUGA Ramai dakwa restoran milik GISB terasa aneh, macam ada tak kena