Kenyataan UMNO jemput Pas jadi anggota BN palsu

Kenyataan media yang kononnya Barisan Nasional (BN) menjemput Pas untuk menjadi anggota gabungan itu adalah palsu.

Terdahulu, tersebar kenyataan bertarikh 12 September memuatkan empat perenggan kononnya daripada Sekretariat Majlis Tertinggi UMNO.

Menerusi kenyataan lengkap logo UMNO itu, kononnya “UMNO mengambil maklum hasrat Pas untuk menjalinkan Kerjasama politik semula bersama UMNO”.

Menurut kenyataan palsu itu, Pas dijemput menjadi anggota dalam BN sekiranya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan.

Semalam, Pas secara terbuka bersedia bekerjasama dengan UMNO jika parti Melayu terbesar itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam sidang media di Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-65 di Pahang semalam, Ketua Dewan Pemuda parti komponen PN itu berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja dengan UMNO, tetapi juga semua pihak atas nama penyatuan Islam.

Afnan Hamimi Taib Azamudden malah mendakwa hubungan Pas dengan UMNO di peringkat akar umbi sejak penubuhan Muafakat Nasional (MN) semakin baik.

BACA JUGA GISB terus jadi buah mulut, senarai segala anak syarikat ‘Abuya’ turut tersebar