Kontroversi pemerdagangan manusia: Mashitah saman NGO fitnah dirinya, suami

Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengemukakan saman fitnah terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua yang lain berhubung dakwaan mengaitkannya dengan jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan yang bertindak selaku plaintif menamakan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO); Pengerusinya merangkap Setiausaha Agung, Datuk Hishamuddin Hashim; dan Ahli Jawatankuasa, Azirul Syafiq Sazali sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Mashitah menuntut defendan memohon maaf, membayar ganti rugi antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan serta memohon injunksi supaya mereka memadamkan kenyataan dan klip video didakwa memfitnahnya dalam tempoh tujuh hari.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Mashitah berkata, pada 28 Ogos lalu, MHO memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu klip video kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan yang mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Mantan Ahli Parlimen Baling itu memfailkan saman tersebut menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 September lalu.

Pada 7 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada bukti mengaitkan Mashitah dan suami, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar terbabit kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

BACA JUGA Dr Maza perjelas bagaimana Perlis jadi pemula dedah isu GISB