KPN sahkan 13 budak lelaki di rumah amal GISB pernah diliwat

Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) terus menuai perhatian orang ramai apabila 13 budak lelaki berusia belasan tahun yang menginap di rumah amal dikaitkan syarikat perniagaan itu memiliki rekod pernah diliwat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata seramai sembilan orang dikenal pasti diliwat selepas pihak polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala bakinya pada fasa sebelumnya.

Menurutnya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dalam satu kertas siasatan.

“Pada serbuan bertarikh 2 September lalu, kita terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.

“Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti.

“Jadi, siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pagi ini.

Kelmarin, Razarudin pada sidang media di Kuantan, berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat.

Seterusnya, dedah beliau, mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan GISB.

Op Global antara jam 6 hingga 11 pagi, 11 September lalu itu dilakukan di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mereka terbabit terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Razarudin berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

BACA JUGA Wee Ka Siong, kerajaan Tebuk Atap buat masalah tapi kini kritik Madani pula

Â