Mat Sabu tak puas hati, arah MAHA 2024 sedia tempat solat Jumaat lebih selesa

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan rasa tidak puas hati dengan penyediaan tempat solat Jumaat di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 hari ini.

Beliau dalam hantaran di Facebook, memohon maaf kepada semua pengunjung kerana hanya mengetahui berkenaan tempat solat yang disediakan sekretariat MAHA ketika masuk waktu solat.

Beliau bagaimanapun telah mengarahkan agar tempat solat yang lebih besar dan selesa disediakan pada hari Jumaat depan yang dijangka akan dilimpahi lebih ramai jemaah. 

“Bang Mat sangat tak berpuas hati dengan penyediaan tempat solat Jumaat hari ini yang diuruskan oleh pihak Sekretariat MAHA 2024. 

“Kepada jemaah yang terpaksa berpanas tadi, Bang Mat minta maaf sebab hanya mengetahui keadaan ini ketika waktu solat Jumaat hampir masuk dan tidak sempat untuk Bang Mat mengarahkan pihak Sekretariat mengubah tempat solat tadi ke tempat lain. 

“Semoga insiden ini menjadi pengajaran kepada pihak Sekretariat MAHA supaya insiden seperti ini tidak berulang di masa hadapan,” katanya.

Beberapa gambar yang dimuat naik Mohamad memperlihatkan pengunjung terpaksa menunaikan solat Jumaat di tengah panas tanpa khemah.

Difahamkan hanya satu sahaja khemah disediakan untuk orang ramai solat Jumaat.

Sebelum ini beberapa pihak mempersoal mengapa MAHA 2024 tidak meneruskan amalan seperti tahun sebelumnya, iaitu menyediakan ruang solat di dalam dewan.

BACA JUGA Kaitkan bala Allah dengan DAP: Syahredzan, Rara sekolahkan Pas