PH Wilayah bertemu Zaliha, sampaikan tiga cadangan penting

Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa pada 10 September lalu.

Gabungan itu menyampaikan beberapa cadangan kepada menteri agar diwujudkan satu jawatankuasa bagi membincangkan pelan reformasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Ia sebagai langkah ke arah keseragaman sistem pentadbiran DBKL berbanding Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain di negara ini.

Kedua, pemimpin PH WP mencadangkan agar Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) menjadi teras rujukan utama bagi memastikan pematuhan prinsip-prinsip pembangunan mampan dan terancang. 

“Antara projek yang menjadi tumpuan awal ialah di Taman Desa dan Kolam Takungan Banjir Kg Bohol. 

“Sesi libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut akan diadakan secara berkala untuk memastikan sudut pandang yang lebih inklusif terutama berhubung pembangunan mampan,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu dibuat bersama Pengerusinya, Tan Kok Wai; Timbalan Pengerusi I, Khalid Samad; dan Timbalan Pengerusi II, Datuk Azman Abidin.

Selain itu, cadangan ketiga diutarakan kepada menteri adalah memperjuang keadilan buat semua pihak berkepentingan termasuk dari aspek pampasan yang adil bagi golongan terkesan dengan pengambilan balik tanah melalui penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal Act).

“Persoalan kepadatan penduduk turut dibincangkan untuk melihat nisbah kemudahan awam seperti sekolah, klinik kesihatan dan hospital berbanding jumlah penduduk bagi menjamin kehidupan yang berkualiti untuk masyarakat di Wilayah Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu PH WP berkata, Dr Zaliha menghargai pandangan pimpinan Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan dan menyokong sebarang usaha memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

BACA JUGA Mat Sabu tak puas hati, arah MAHA 2024 sedia tempat solat Jumaat lebih selesa