PM mahu kes berkaitan GISB segera disiasat

Perdana Menteri mahu supaya siasatan dan tindakan berhubung kes berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) disegerakan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama dan penderaan adalah perkara besar jika terbukti benar.

“Biar polis buat siasatan dan tindakan mengikut undang-undang, pihak majlis agama terutama di Wilayah (Persekutuan dan saya lihat juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ramai tanya kenapa (berlaku) kelewatan, lengah dalam ambil tindakan, jadi saya sudah bawa perkara ini supaya diambil tindakan segera (dalam) siasatan dan laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra di Kajang, hari ini.

Kontroversi membabitkan GISB menggemparkan orang ramai apabila terbongkar aktiviti seks luar tabii serta kerahan tenaga kerja melibatkan kanak-kanak dan remaja di premis kendalian syarikat perniagaan yang didakwa mengamalkan ajaran sesat itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media pagi tadi mendedahkan, terdapat 13 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu dalam Op Global Rabu lalu disyaki telah diliwat.

Jelasnya, ia berdasarkan saringan perubatan yang dijalankan terhadap 13 mangsa berumur di bawah 17 tahun itu yang menghuni di pusat perlindungan yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Saringan di 20 premis terbabit dijalankan dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Menurut Razarudin, pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram (AMLA) Bukit Aman turut sudah digerakkan bagi mengenal pasti setiap rekod transaksi berkaitan dalam menyiasat dana berkaitan rumah amal terbabit dan perniagaan lain jika diperlukan.

“Kita percaya pusat jagaan ini mempunyai penaja lain, selain GISBH.

“Ada juga rumah orang tua yang menerima dana daripada GISBH dan sumber lain juga,” katanya lagi.

Kegemparan membabitkan GISB turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza yang katanya wujud amalan tidak solat Jumaat, menjamakkan solat sepanjang waktu selain darah bekam dan bulu pada anggota tubuh dijadikan sebagai ‘keberkatan’.

BACA JUGA Dr Maza perjelas bagaimana Perlis jadi pemula dedah isu GISB