Tular budak dekat masjid dipegang bahu: Bukan cubaan culik tapi amang seksual

Seorang kanak-kanak yang telah diganggu oleh lelaki tempatan tidak dikenali ketika berada di kawasan masjid di SS15, Subang Jaya bukannya cuba diculik.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata siasatan pihaknya mendapati kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun itu mungkin mangsa amang seksual.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2021, iaitu amang seksual terhadap kanak-kanak serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak telah diganggu oleh lelaki tempatan yang tidak dikenali, dengan dakwaan kenyataan mangsa cuba diculik.

Suasana masjid di SS15, Subang Jaya.

Wan Azlan memaklumkan mangsa telah memberitahu kejadian itu kepada pengadu iaitu wanita tempatan bahawa suspek telah memegang bahu mangsa ketika berada di kawasan masjid dan menanyakan nama dan alamat rumah, namun mangsa terus melarikan diri ke dalam sekolah.

“Pada 11 September 2024 pengadu telah terima satu video dan gambar daripada ibu kenalan mangsa yang menunjukkan rakaman CCTV kejadian mangsa telah dipegang bahu oleh suspek.

“Video itu telah tular di dalam laman sosial Facebook yang menunjukkan gambar dan dakwaan kenyataan mangsa cuba diculik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dalam memuat naik sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil membantu siasatan.

Hubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Shabilah Zulkifle@Awang di talian 010-266 7017 atau balai polis berdekatan.

BACA JUGA GISB terus jadi buah mulut, senarai segala anak syarikat ‘Abuya’ turut tersebar