GISB mengaku ada kes liwat tapi dakwa cuma ‘satu, dua kes’

Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) mengaku ada berlaku kes liwat dalam kalangan kanak-kanak yang menghuni rumah amal mereka, namun mendakwa ia hanyalah “satu, dua kes”.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd Ali meluahkan rasa kesal, mendakwa tiada rundingan dilakukan dengan pihaknya sebelum membawa keluar kesemua kanak-kanak itu.

Katanya, adalah tidak wajar apabila satu, dua kes liwat yang berlaku, tetapi dirangkumkan seolah-olah seluruh penghuni diajar meliwat.

Beliau juga mempersoal mengapa tiada perbincangan dilakukan dengan pihak GISBH, dan nasihat-nasihat yang sepatutnya disampaikan kepada mereka.

“Ini tangkap sekali 400 lebih, anak-anak tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat. Memang liwat tu ada tapi satu, dua (kes). Kenapa dirangkumkan semua hasilnya. 

“Kemudian kata memperdagangkan manusia, eksploitasi anak-anak. Benda-benda ini berlaku begitu pantas, langsung tiada rundingan. Peliklah,” katanya dalam satu video penjelasan di laman rasmi GISBH pagi ini.

Beliau juga meminta pihak polis menunjukkan bukti salah laku di premis rumah amal GISBH jika benar mereka melakukan kesalahan.

Ini termasuklah dakwaan penyediaan ‘air berkat’ menggunakan bulu kaki yang berlaku sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata, ia tuduhan yang tidak berasas dan amat jijik.

“Saya kesal dengan benda-benda macam ini sebab sangat jijik. Cerita ni tak berasas. Bukti tak ada, tunjukkan bukti. Sepanjang 30 tahun (GISBH), kalau betul ada (menyalahi undang-undang) tunjukkanlah bukti,” katanya lagi.

Ketua Polis Negara berkata pihaknya berjaya menyelamatkan lebih 402 kanak-kanak, namun Nasiruddin menggunakan istilah kanak-kanak itu telah “ditangkap”.

Pengerusi Eksekutif GISBH itu berkata lagi, pihaknya kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dari peguam dan akan mengambil tindakan seterusnya dalam masa terdekat.

“Kami sedang mendapatkan peguam, esok peguam akan mula bertindak mengikut undang-undang. Saya sangat kesal tuduhan, guna akaun palsu, saya dengar macam-macam,” katanya lagi

BACA JUGA Usul Anwar letak jawatan sila bawa ke Parlimen, bukan di muktamar Pas