Usul Anwar letak jawatan sila bawa ke Parlimen, bukan di muktamar Pas
Pemuda Pas telah meluluskan usul bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.
Usul menuntut Anwar meletakkan jawatan kerana kerajaan dikatakan enggan mengambil tanggungjawab terhadap masalah ekonomi dihadapi negara sehingga menyebabkan rakyat makin meluat dengan pentadbiran PMX.
Selain itu, ia mendakwa kepimpinan Perdana Menteri ke-10 tidak pernah cuba menjadi kerajaan yang matang dan bertanggungjawab dalam mentadbir.
Mengulas perkara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli hanya membalas ringkas mengingatkan Pemuda Pas agar usul tersebut dibawa ke Dewan Rakyat dan bukannya ke dewan Muktamar.
“Sheikh, usul letak jawatan kena bawa ke Dewan Rakyat, bukan Dewan Pemuda,” ciapnya sinis membalas satu laporan berita mengenai usul peletakan jawatan Perdana Menteri.
Sebulan selepas Anwar memegang Putrajaya iaitu pada Disember 2022, beliau telah membawa usul percaya ke Parlimen.
Hasilnya Ahli Parlimen Tambun itu memperoleh sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri ke-10.
Awal tahun ini Perdana Menteri secara terbuka mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya jika mahu menumbangkan kerajaan.
Peluang membentang usul tidak percaya telah diberi sejak setahun lalu namun tiada sebarang langkah yang dibuat.
BACA JUGA Kaitkan bala Allah dengan DAP: Syahredzan, Rara sekolahkan Pas