Hadi Awang nafi dakwaan Pas ada kaitan dengan GISBH

Presiden Pas menafikan laporan media antarabangsa yang mendakawa parti itu ada kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, syarikat yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja itu tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan partinya.

“GISB tidak ada hubungan (secara) langsung dengan kita, walaupun pihak media antarabangsa mengaitkannya, itu satu berita yang tidak betul… yang salah.

“Tiada dan bukan ahli kita (terlibat), tidak ada kaitan dengan kita. Itu perlu (kepada) siasatan polis,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur hari ini.

Ahli Parlimen Marang memberitahu, Pas akan sentiasa mengawal institusi mereka agar kejadian serupa tidak berlaku.

“Dalam Pas, insya-Allah kita terkawal. Kita ada lajnah… jawatankuasa untuk mengawal. Pentadbiran kita sendiri… dengan pihak lain, kita tiada hubungan,” katanya.

Terdahulu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai telah menjadi mangsa liwat.

Serbuan mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Sementara itu pagi ini, GISBH mengaku ada berlaku kes liwat dalam kalangan kanak-kanak yang menghuni rumah amal mereka, namun mendakwa ia hanyalah “satu, dua kes”.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali meluahkan rasa kesal, mendakwa tiada rundingan dilakukan dengan pihaknya sebelum membawa keluar kesemua kanak-kanak itu.

Pihaknya juga menafikan segala tohmahan karut mengenai air berkat dan penganiayaan kanak-kanak.

BACA JUGA GISB mengaku ada kes liwat tapi dakwa cuma ‘satu, dua kes’