Penuh jalan! Ribuan penyokong BN berkampung di pusat penamaan calon

Ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) hari ini membanjiri pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.

Suasana berlangsung agak meriah dengan kehadiran penyokong yang membawa bendera BN dan poster undilah BN.

Pemimpin Pakatan Harapan turut dilihat hadir bersama-sama memberi sokongan kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang.

Dianggarkan lebih 2,000 penyokong yang hadir pagi ini.

Antara yang kelihatan termasuklah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda.

Selain itu turut hadir ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota.

BN mempertaruhkan Syed Hussien, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menampilkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar.

Untuk rekod, PRK ini adalah yang ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebelum ini, PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) telah berlangsung diikuti PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai di Johor, PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK Nenggiri (Kelantan).

BACA JUGA Usul Anwar letak jawatan sila bawa ke Parlimen, bukan di muktamar Pas