Isu peruntukan kawasan pembangkang:PN dah tolak, tapi…
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bahawa blok kerajaan sedang menunggu surat rasmi daripada Perikatan Nasional berkaitan draf memorandum persefahaman (MOU) dalam isu peruntukan kawasan ahli parlimen pembangkang.
“Sebagai sebuah negara demokrasi kita terima pandangan pihak pembangkang, jadi bila draf kita mengharapkan mereka datang balik dan maklum apa tidak dipersetujui dan apa cadangan balas, itu maknanya perundingan.
“Tapi apa pun saya menghormati pandangan mereka dan saya menunggu secara hitam putih daripada mereka secara bersurat.
“Jika dah ada nanti saya bawa untuk perundingan di peringkat Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.
“Dari situ kita akan bincang lagi sama ada hendak terus berunding ataupun adakah ini muktamad daripada pihak pembangkang bahawa mereka tidak mahu berunding (lagi),” katanya kepada media selepas merasmikan Penangguhan Regatta Tandang Sari Pusa di Betong, Sarawak.
Pagi ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah menolak draf MOU berdasarkan empat sebab.
Kenyataan beliau telah diedarkan kepada media.
Walau bagaimanapun ia tidak dihantar kepada Fadillah.