Terkejut artis ini anggap GISBH banyak baiknya
Orang ramai terkejut dengan kenyataan terbuka artis Betty Benafee yang mengaku banyak kenangan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sejak sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
Menerusi perkongsiannya di TikTok, Betty turut mengaku banyak berhubung dengan pihak syarikat perniagaan terpalit kes ajaran sesat itu melalui badan bukan kerajaan (NGO) malah secara peribadi.
Penyanyi lagu ‘Tak Sengaja’ berkenaan menganggap syarikat yang diasaskan oleh bekas pemimpin Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan, Ashaari Muhammad itu sebagai “banyak baiknya daripada buruk.”
Sehubungan itu, artis berusia 45 tahun tersebut mengingatkan bahawa semua perkara yang berlaku pasti ada asbabnya.
“Kita kena selalu berhati-hati dalam ucapan kita,” ujarnya sambil menasihatkan ahli keluarga GISB supaya bersabar.
Dalam masa sama, Betty berpendapat pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap individu terbabit bukannya kepada institusi merujuk pada kes 402 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
“Kita patut beri peluang terlebih dahulu kepada polis untuk siasatan tetapi jangan sesekali buat tohmahan atau andaian, sangkaan ketika siasatan belum habis dijalankan,” katanya menerusi TikTok miliknya.
Rata-rata mengingatkan Betty dan mereka yang menyokong GISBH bahawa nasib dan hak golongan kanak-kanak terbabit lebih lagi patut dibela.
Ada juga menasihatkan wanita berketurunan Melayu dan Arab itu supaya mendengar hujah dan pendapat Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza.
Malah, warganet menggesa Betty agar mengikuti penjelasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sejak awal pembongkaran kes menggemparkan itu.
“Kenangan manis anda berbaloi dengan penderitaan dan trauma 400 kanak-kanak itu ke? Itu baru dua negeri ya. Kita tidak tahu berapa ramai lagi.
“Mufti Perlis mendapat maklumat kajian dan risikan bukan macam artis yang nampak luaran.
“Kalau melibatkan akidah mana pilihan anda? Ekonomi atau akidah?,” demikian antara komentar netizen.
GISBH terpalit dengan dakwaan berlakunya eksploitasi kanak-kanak serta amalan seks luar tabii susulan serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas 20 premis milik syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan, 11 September lalu.
Hasil serbuan yang dilakukan selepas pemantauan PDRM selama enam bulan itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia kurang 17 tahun berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kemudian mengesahkan 13 daripada mereka terbabit disyaki diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.
Menurutnya lagi, sebanyak 39 lagi rumah amal di seluruh negara kendalian GISB berada dalam radar pemantauan polis.
BACA JUGA Ramai dakwa restoran milik GISB terasa aneh, macam ada tak kena