Kejamnya! Kanak-kanak terseksa dirotan bertalu-talu, dada ditekan dengan lutut
Tular dua rakaman video perbuatan kejam terhadap kanak-kanak yang difahamkan berlaku di premis bawah kendalian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Video pertama didedahkan menerusi Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki menangis ketika diseksa.
“Lutut si penjaga rumah amal pijak di dada sehingga kanak-kanak ini hampir pengsan. Kanak-kanak ini juga terdapat kecederaan lain,” menurut keterangan Pukas.
Menerusi video tersebut, budak lelaki berkenaan yang dadanya ditekan dengan lutut itu turut beberapa kali dipicit hidungnya.
“Kenapa nangis? Lapar ke?” soal pendera itu beberapa beberapa kali sebelum rakaman video itu berakhir dengan pertanyaan, “nak mati ke?“.
Rakaman video kedua dikongsikan Pukas pula memaparkan beberapa kanak-kanak di pusat GISBH dirotan banyak kali di tapak tangan.
“Hukuman rotan yang melampau di sekolah GISBH Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah (di Klang, Selangor). Jemaah pendera tidak boleh jadi pendidik,” kata Pukas.
Walaupun berteriak dan menangis mengadu kesakitan tetapi mereka yang berseragam hijau dan mengenakan lencana berlogokan GISBH tetap diarah menadah tapak tangan untuk terus dirotan.
Salah seorang daripadanya dilihat dirotan secara berturutan di tapak tangan yang sama sebanyak 10 kali.
Lebih menyedihkan, ada kanak-kanak yang spontan melutut dan menungkupkan muka ke lantai menahan kesakitan sejurus dirotan beberapa kali dengan hayunan rotan yang tinggi.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, lebih banyak lagi kes penderaan dipercayai berlaku melibatkan kanak-kanak di rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH.
Razarudin berkata, beliau akan meminta pegawai Pasukan Petugas Khas untuk membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Banyak lagi (kes) penderaan ini (melibatkan kanak-kanak). Kita akan buat laporan untuk mulakan siasatan kita,” katanya, memetik Astro Awani.
Terdahulu, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali mengakui berlaku beberapa kes liwat membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.
BACA JUGA Pas politikkan isu judi ketika jenayah di negeri SG4 gagal dibendung