Pas politikkan isu judi ketika jenayah di negeri SG4 gagal dibendung
Oleh FAIZ FADZIL
Muktamar Pas baru-baru ini jelas membuktikan kemunduran mentaliti Pas sekarang.
Pelbagai kenyataan dalam muktamar itu termasuklah mengelar kejadian lubang benam Kuala Lumpur sebagai bala Allah dan seruan untuk ahli Pas berkahwin dengan bukan Melayu bagi meraih undi sama sekali tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.
Pas juga tidak berpijak pada realiti apabila mencabar kerajaan pusat mengharamkan perjudian di semua negeri.
Padahal, semasa menjadi kerajaan di Persekutuan (2020 hingga 2022), Pas telah gagal untuk mengambil apa-apa langkah mengharamkan judi.
Malah, kerajaan yang dianggotai Pas ketika itu meningkatkan cabutan khas loteri daripada 8 kepada 22. Sememangnya judi haram di sisi agama Islam, dan sebab itu kerajaan mengharamkan semua bentuk perjudian ke atas orang Islam.
Namun, Pas lupa bahawa judi bukan faktor tunggal berlakunya gejala jenayah dan penyakit sosial.
Pas hanya menggunakan judi sebagai alat politik untuk menunjukkan parti itu memperjuangkan Islam, sedangkan jenayah lain terus berleluasa di negeri tadbir Pas atau SG4 (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) tanpa perkara ini dibangkitkan di dalam muktamar Pas.
Persoalannya, adakah jenayah lain bukan kesalahan syarie berbanding judi?
Ironinya, negeri tadbir Pas atau SG4 adalah antara yang tercorot dalam konteks banduan sabitan, kes jenayah, keganasan rumah tangga dan tangkapan kes dadah.
Data Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa kes jenayah keseluruhan pada tahun 2022 di Kedah melonjak lebih 22% dan di Kelantan hampir 10%.
Kadar ini adalah tertinggi di Semenanjung Malaysia di mana majoriti negeri mencatatkan penurunan kes jenayah.
Kes di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing berkurang hampir 13% dan 10% pada tahun sama.
Dalam konteks jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun dan sebagainya, Kedah mendahului carta di Semenanjung Malaysia dengan peningkatan kes sebanyak 22% pada tahun 2022.
Berdasarkan jumlah banduan sabitan tahun 2022 berbanding populasi, 4 daripada 5 negeri teratas adalah dipimpin oleh Pas.
Di Perlis, banduan sabitan tahun 2022 adalah 0.78% populasi negeri, Kelantan (0.44%), Terengganu (0.42%) dan Kedah (0.42%).
Untuk perbandingan, Pulau Pinang hanya mencatatkan 0.39%, manakala Selangor dan KL mencatatkan 0.31%.
Terengganu, Kelantan dan Perlis turut mendahului carta dalam aspek tangkapan dadah. Pada tahun 2022, sebanyak 93 tangkapan dadah dicatatkan di Terengganu bagi setiap 10,000 populasi. Di Kelantan dan Perlis masing-masing adalah 86 dan 84 tangkapan.
Kegagalan Pas dalam memelihara institusi rumah tangga juga terserlah memandangkan Kedah dan Kelantan adalah “top scorer” dalam isu keganasan domestik.
Kedah mencatatkan 1.64 kes keganasan rumah tangga pada tahun 2022 bagi setiap 1,000 isi rumah, manakala Kelantan pula 1.37 kes. Di Selangor, bilangan kes bagi 1,000 isi rumah adalah 0.72 dan di Pulau Pinang 0.99.
Melihat data-data ini, timbul satu persoalan besar. Di manakah Islam dalam pentadbiran Pas? Judi kononnya telah dihapuskan, namun dadah, keganasan domestik dan jenayah gagal dibendung.
Hakikatnya, Pas telah gagal dan bak kata perwakilan Pas dalam muktamar sendiri, kepimpinan Pas telah gagal mengawal selia kualiti pemimpin.
Peningkatan kes jenayah dan penyakit sosial ini melambangkan kelemahan pemimpin Pas mentadbir SG4 dengan baik. Sebenarnya, Pas yang merestui krisis nilai dalam negara ini.
*FAIZ FADZIL merupakan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH).
BACA JUGA Kerajaan Terengganu didakwa berbulan tak bayar elaun guru Al-Quran?