Kontroversi GISBH: 3 kes dituduh di mahkamah Putrajaya, Negeri Sembilan esok
Esok dijangka bermulanya pertuduhan tiga kes berkaitan kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di tiga mahkamah berasingan masing-masing di Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Satu kes iaitu membabitkan seorang ustaz dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson di Negeri Sembilan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, lapor media.
Pertuduhan dijangka dilakukan jam 8.30 pagi berikutan kesalahan mencabul kehormatan guru praktikal di sebuah pusat pengajian di Port Dickson.
Sementara itu, seorang ustaz di pusat sama akan dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban 2 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana kes amang seksual.
Dalam kenyataan Polis Kuala Lumpur pula, seorang lelaki yang juga ahli kepada kumpulan GISBH dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya jam 8 pagi esok.
Lelaki berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang merujuk pada ugutan jenayah dengan peruntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini memaklumkan tiga daripada 33 kertas siasatan dibuka polis susulan Op Global sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Menurutnya, tindakan itu bagi mendapatkan cadangan dan arahan lanjut bagi tujuan pertuduhan di mahkamah.
Jelasnya, dua kertas siasatan bagi kes mengikut Seksyen 14(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala satu kertas siasatan bagi kes mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sebanyak 30 kertas siasatan lain masih di peringkat siasatan,tambahnya, yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 427 dan 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 11 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal dikaitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Seramai 402 kanak-kanak dan remaja masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi berjaya diselamatkan polis.
Dalam masa sama, polis menahan 171 individu berusia 17 hingga 64 tahun yang mengendalikan premis untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak.
BACA JUGA AMANAH gesa semua negeri kuat kuasa fatwa haram Al-Arqam ke atas GISBH