Tiada beza dah dengan puak zionis, ramai geram penderaan di GISBH

Perlakuan zalim terhadap kanak-kanak di premis kendalian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dilihat sudah tiada beza dengan keganasan puak zionis.

Ramai mengecam penderaan tanpa belas kasihan itu susulan penyebaran dua rakaman video yang dikongsikan laman Facebook, Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).

Menerusi video itu, sekumpulan budak lelaki dirotan tapak tangan mereka dengan hayunan tinggi sehingga ada yang kena sampai 10 kali.

Dalam satu rakaman lain pula, seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat lantaran dadanya ditekan dengan lutut oleh penderanya.

Rata-rata menyifatkan pembongkaran Pukas sebagai sangat merobek perasaan dan mendesak pihak terbabit diheret ke muka pengadilan.

“Cara macam ni dia nak brainwashed kepala otak budak ni dari kecil agar takut dan patuh kepada organisasi. Sebab tu, kita jumpa ahli dia semua taksub dan tak boleh diubah dah,” kata pengguna X,@Syafiq_Rose.

Dalam masa sama, ada yang mengakui tidak sampai hati untuk menonton rakaman video sehingga habis.

Tidak kurang juga yang mendoakan agar pendera terbabit mati dalam keadaan paling menyeksakan.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan polis pada masa ini masih tertumpu bagi kertas siasatan fasa pertama dan kedua Op Global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media hari ini memaklumkan bahawa siasatan terhadap GISBH berkait ekploitasi kanak-kanak mungkin akan mula menjurus kepada kegiatan jenayah terancang.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit berpindah-randah dari satu rumah amal ke rumah amal lain dan tidak tinggal satu tempat sahaja dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, terdapat struktur organisasi yang jelas dalam pengoperasian rumah amal terbabit yang dibahagikan kepada beberapa zon.

Jelasnya, terdapat seorang pengurus yang bertanggungjawab menyelia beberapa rumah bagi setiap zon.

“Di bawah pengurus pula, di setiap rumah amal itu mempunyai penjaga yang mengendalikan kanak-kanak iaitu abang atau kakak yang berusia lebih 18 tahun,” katanya pada sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur hari ini.

BACA JUGA Kejamnya! Kanak-kanak terseksa dirotan bertalu-talu, dada ditekan dengan lutut