Tolak mentah-mentah MoU petanda PN masih nak main isu 3R – KANUN

Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak mentah-mentah memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tanpa berbincang lanjut dengan kerajaan, menunjukkan kesombongan blok itu.

Timbalan Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang) AMANAH, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, helah PN menolak draf MoU adalah satu manifestasi bahawa kumpulan itu ingin terus menggunakan isu 3R untuk menggugat pentadbiran Perdana Menteri.

Beliau turut menepis dakwaan dilempar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari tentang draf MoU yang dianggap “sangat berbahaya”.

“Tidak wujud sebarang istilah seperti yang dikatakan oleh Hadi Awang iaitu MOU ini tidak mengikut sifat tabii sebenar atau seperti yang dikatakan oleh Fadhli Shaari bahawa draf MOU ini mengandungi terma perjanjian yang sangat berbahaya terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

“KANUN melihat helah PN menolak draf MOU ini adalah satu manifestasi PN yang ingin terus menggunakan isu 3R untuk merosakkan kestabilan politik dan meneruskan usaha ‘tebuk atap’.

“…mereka ingin terus menggugat kemajuan ekonomi Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi tumpuan pemimpin dunia dengan kemasukan pelaburan ratusan bilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Ahmad Zamri menegaskan, segala alasan PN untuk menolak perjanjian antara kerajaan dengan pembangkang adalah tidak berasas dan hanya omongan kosong bagi menyedapkan hati penyokong mereka.

KANUN menyatakan bahawa MoU ini adalah penegasan semula kepada konsep sama rata di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina melainkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Apa pun, MOU ini tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan istimewa bumiputra di bawah Perkara 152 dan 153 dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3(1). 

“KANUN juga yakin bahawa Majlis Raja-Raja akan terus berperanan sebagai penjaga dan pengawal kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu dan hak istimewa Raja-Raja di bawah Perkara 38,” ujarnya lagi.

Terdahulu, sehari selepas pembangkang menolak syarat perjanjian ditetapkan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.

Tindakan itu bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.

Hamzah sebelum ini mendakwa MoU itu bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

BACA JUGA Kerajaan Terengganu didakwa berbulan tak bayar elaun guru Al-Quran?