Banjir 5 negeri: Lebih 3,200 mangsa di 27 PPS pagi ini

Banjir di lima negeri menyaksikan seramai 3,230 orang daripada 662 keluarga ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 6.36 pagi ini.

Kesemua PPS yang dibuka di lima negeri itu terletak di Kedah dan Pulau Pinang masing-masing 11 PPS.

Ini diikuti Perlis (2) manakala satu PPS beroperasi masing-masing di Sabah dan Sarawak.

Menurut data banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kedah paling teruk terjejas dengan 2,193 mangsa berada di 11 PPS melibatkan enam daerah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Kulim.

Mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Maahad Tarbiah Islamiyah Derang di daerah Pokok Sena iaitu seramai 771 orang, diikuti PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang membabitkan 678 mangsa.

Banjir di Kedah menyaksikan jumlah mangsa ditempatkan di PPS terus meningkat.

Di Pulau Pinang, mangsa banjir mencecah 633 orang daripada 173 keluarga sekitar Seberang Perai melibatkan enam mukim iaitu Penanti, Machang Bubuk, Seberang Jaya, Permatang Berangan, Jawi dan Sungai Bakap.

Sementara itu, di Sabah, satu-satunya PPS yang dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Penangah di daerah Tongod menempatkan 303 mangsa daripada 79 keluarga.

BACA JUGA Ringgit di paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan

LANJUT MENYUSUL