Bimbang masjid dikuasai GISBH, ustaz ini tuntut JAIS bertindak

Seorang pendakwah menuntut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) segera bertindak membanteras penguasaan ahli Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam pentadbiran dan pengurusan masjid.

Ustaz Syihabudin Ahmad bimbang dengan usaha meng’GISBH’kan masjid di Selangor yang menuntut tindakan segera pihak berkuasa agama untuk mengekang penyelewengan dan ajaran sesat syarikat perniagaan terbabit yang merupakan sambungan Al-Arqam.

Sambil membacakan petikan dan terjemahan surah An-Nisa, ayat 58 berkenaan amanah yang perlu dilaksanakan penguasa, beliau mendakwa penguasaan GISBH jelas berlaku di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

“Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes di Rawang kini dikuasai oleh ahli GISBH termasuk individu bernama Reza yang mempunyai rekod jenayah.

“Bagaimana individu seperti ini yang ada rekod jenayah boleh dilantik sebagai ahli jawatankuasa iaitu ketua biro Pemuda masjid?” soalnya menerusi saluran YouTube beliau.

Dalam masa sama, penulis buku berkenaan turut mempersoalkan kepekaan dan tindakan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak.

“Ini jelas satu bentuk kelemahan penguasa agama yang tidak boleh diterima.

“Bukan seorang sahaja ahli GISBH di sini (Masjid Cahaya Iman). Sekurang-kurangnya ada empat orang (ahli GISBH) telah dilantik untuk memegang biro penting bagi mengemudi masjid.

“Selain Reza; Ketua Biro Ekonomi, Omar Zaki yang berceramah dalam Facebook GISB, juga ada Ketua Biro Keselamatan, Ghazali Akhbar dan Ketua Biro Multimedia, Ishak.

“Tengok kopiah mereka pun, tahu mereka adalah ahli GISBH. Nama-nama mereka ada dalam media GISBH,” dakwa Ustaz Syihabudin.

Tegas beliau lagi, program sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini di masjid tersebut secara terbuka lagi jelas menonjolkan ciri sekaligus mempromosikan GISBH.

“Siap promosikan lagi GISBH dalam video. Bilal masjid siap sebut berkali-kali GISBH, sedangkan ini program masjid bukan program GISBH. Malah, bukan program usahasama masjid dengan GISBH.

“Terang-terangan ini rancangan GISBH menggunakan masjid di bawah JAIS untuk mempromosikan mereka,” tambah Ustaz Syihabudin lagi.

Semakan Harapandaily di TikTok mendapati wujud dua akaun rasmi bagi Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes di Rawang.

Akaun atas nama masjidcahayaimanofficial dengan 7,965 pengikut dilihat kali terakhir ‘hidup’ pada 31 Ogos lalu dengan berkongsikan ucapan nazir masjid, Haji Fauzi sempena program Sambutan Maulidur Rasul.

Sementara itu, akaun masjidcahayaimanrasmi yang mempunyai hanya 756 pengikut memuatnaik rangkuman sepanjang program Maulidur Rasul dengan penampilan ketara GISBH.

Paling menonjol ucapan penghargaan yang berulang kali daripada Bilal II, Mohd Khairulnizam Idris terhadap GISBH.

Video berdurasi 2:17 minit itu juga hadir dengan tanda pagar #ikhwan dan #gisb selain memberi kredit kepada Ikhwan News.

BACA JUGA Kontroversi GISBH: 3 kes dituduh di mahkamah Putrajaya, Negeri Sembilan esok

Â