Pas mengungkit siap kait anjing selepas Saifuddin anggap muktamar kemuncak politik kebencian

Kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan Muktamar Tahunan ke-70 Pas sebagai kemuncak politik kebencian mengundang berang pemimpin parti pembangkang itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat mengungkit dengan mengingatkan Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri agar tidak lupa diri.

Dia juga berharap, Saifuddin tidak memadamkan fakta disebutkan dan memohon beliau tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa Melayu seperti ‘melepaskan anjing tersepit’.

“Manusia mudah lupa ini bukan saja tidak mengenang jasa, sebaliknya menggigit tangan mereka yang membantunya dahulu,” katanya.

Saifuddin Nasution Ismail

Menurutnya, PKR menumpang kasih bekerjasama memenangi banyak kerusi pilihan raya ketika bersama Pas dahulu, selain menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan BN ketika itu.

“Orang yang paling bertuah berasa sendiri kemenangan dalam pilihan raya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang Pas, parti yang dicerca oleh beliau hari ini.

“Dengan persetujuan TGHH (Abdul Hadi), beliau diberi ruang bertanding dan memenangi Parlimen Machang pada 2008. Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa TGHH.

“Atau mungkin juga Saifuddin perlu diingatkan bila mana DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertemu dengan Presiden Pas dan arwah TGNA (Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat) memohon agar beliau dibenarkan untuk membantu PKR satu masa dulu,” katanya.

Semalam, Saifuddin menyifatkan hanya unsur cacian, kebencian dan angan-angan yang dihidangkan pemimpin Pas dalam ucapan serta resolusi sepanjang Muktamar Pas ke-70 bermula 11 hingga 15 September lalu.

Saifuddin menambah muktamar tersebut sebagai rakaman sejarah yang menjadi medan kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun di bawah pimpinan Presiden parti pembangkang itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau turut menyifatkan parti yang ditubuhkan pada 1951 itu telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh seperti Profesor Zulkifli Muhammad, Burhanuddin al-Helmi, Fadhil Noor, Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, ahli Pas pasti menitiskan air mata melihat PAS mengalami kemerosotan termasuk kegagalan Abdul Hadi mempertahankan kemenangan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, yang menyaksikan pemimpin berusia 76 tahun itu hanya menjadi menteri besar untuk tempoh sepenggal sahaja.

“Abdul Hadi hanya dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah,” kata Saifuddin lagi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, semakin dekat Pilihan Raya Umum (PRU), semakin menggelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin dan partinya.

“Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong. Semoga Allah mempercepatkan kerajaan sedia ada hari ini tumbang,” katanya lagi.

BACA JUGA Konsert lepas ni boleh dah bawa ustaz Pas, semua jadi halal