Arif Aiman terus hangat jadi bualan

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi hangat jadi bualan hari ini dengan muncul trending di platform X.

Menjelang tengah malam ini, nama pemain berusia 22 tahun berkenaan disebut dalam 2,716 hantaran di X.

Rata-rata kagum dengan kejayaan pemain Paling Bernilai (MVP) dua musim berturut-turut itu apabila menjulang nama sebagai penjaring gol di pentas Juara-Juara Asia (ACL) Elite.

Dalam perlawanan semalam, Arif Aiman meledak dua gol ketika membantu JDT mengikat Shanghai Port FC 2-2 di Stadium Bolasepak Pudong, Shanghai di China.

Kejayaan Arif Aiman mengikat juara Liga China musim lalu itu nyata sememangnya keputusan yang menggemparkan dunia.

Hal ini memandangkan Shanghai Port FC ketika ini ditunjangi beberapa pemain tersohor dunia diketuai bekas pemain tengah Chelsea, Oscar.

Tumpuan terhadap Oscar sedikit tenggelam dek kerana penampilan bergaya Arif Aiman dengan hampir memalukan tuan rumah.

Pemain sayap lincah itu meledak gol pendahuluan buat JDT pada setiap babak dan jaringannya membolehkan JDT mengutip mata pertama pada pentas ACLE musim ini.

Pemain yang disifatkan sebagai kecil-kecil cili padi dengan ketinggian 1.7 meter itu, Arif Aiman mengejutkan tuan rumah apabila membawa bola dari tepi ke kawasan tengah sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Yan Junling pada minit ke-44.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu seterusnya menyambut hantaran jauh Jorge Obregon dan menyerang secara berseorangan.

Beliau kemudiannya tangkas melepasi kawalan Wei Zhen untuk menewaskan Junling buat kali kedua untuk JDT kembali menggegar perlawanan dengan rekod 2-1.

Prestasi membanggakan yang diraih Arif Aiman sekaligus membuktikan pemain Malaysia memiliki mutu tersendiri.

Laman rasmi bagi pertandingan ACLE di platform X turut memuat naik klip pendek jaringan pertama Arif Aiman pada aksi tersebut.

BACA JUGA Genap 26 tahun Reformasi: Himpunan Gerakan Rakyat di Bukit Jalil esok