Genap 26 tahun Reformasi: Himpunan Gerakan Rakyat di Bukit Jalil esok

Orang ramai dijemput hadir hadir ke Himpunan Gerakan Rakyat bertemakan ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI’ di Stadium Axiata Bukit Jalil esok.

Himpunan yang dijadualkan bermula 8 malam itu dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi iaitu pada 20 September 1998.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata himpunan itu akan mempamerkan suara-suara pemegang taruh yang telah berjaya menghidupkan gerakan reformasi sehingga melahirkan ruang kerjasama merentasi parti dan membuahkan sebuah Kerajaan Perpaduan.

“Kita tidak berpeluang sebelum ini untuk menyambut hari 20 September maka kita sambut pada himpunan itu untuk menghargai perjuangan.

“Pada masa sama, menggunakan platform ini untuk membina masa depan yang jauh lebih memperkasakan rakyat,” katanya kepada media menerusi temu bual dalam talian.

Pernah digelar ‘Puteri Reformasi’, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata tumpuan utama himpunan tersebut bukan sekadar acara ‘walk down memory lane’ bagi menghargai semangat mereka yang berani ke depan dalam usaha reformasi.

Malah, katanya, program terbabit untuk semua pihak bersama-sama merangka dan membina masa depan negara yang lebih meyakinkan.

BACA JUGA Ringgit di paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan