Tiada dokumen lahir hasil perkahwinan sah, Mahkamah Syariah negeri akan tentukan nasab anak GISBH

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata, penentuan nasab kanak-kanak yang menghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa sama akan memainkan peranan dalam jawatankuasa khas bagi menyelaraskan mengenai perkara terbabit.

“Maka hakim mahkamah syariah yang akan melihat pada keterangan sama ada keterangan lisan atau dokumen, …dari situ ia akan menentukan sama ada wujudnya perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak.

“Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa anak itu adalah anak yang sah taraf baharulah boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” jelasnya selepas Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah, hari ini.

Beliau berkata, JPN tidak boleh mendaftarkan anak terbabit sehingga menyebabkan mereka perlu di ‘bin’ Abdullah berikutan tiada dokumen sah yang menunjukkan wujudnya perkahwinan.

Katanya, sijil pernikahan boleh dikeluarkan jabatan agama Islam negeri selepas mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan mereka adalah sah.

“Dengan adanya sijil pernikahan itulah yang membolehkan JPN untuk mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kelahiran sah semua anak terbabit.

“Isunya sekarang anak-anak itu seolah-olah tidak sah taraf dan tiada dokumen yang menunjukkan mereka lahir hasil perkahwinan yang sah,” kata Mohd Nai’im lagi.

BACA JUGA Gempar Pengerusi GISBH, 18 individu termasuk isteri dan 2 anak direman