Azmin dakwa beliau lebih layak dan sepatutnya dijemput berucap di pentas reformasi

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa beliau lebih layak untuk berucap di pentas reformasi malam ini berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merujuk kepada Himpunan Gerakan Rakyat malam ini yang akan diadakan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi pada 20 September 1998.

Ketika berceramah di Kampung Melayu, Kluang semalam, Azmin mendakwa dirinya adalah individu pertama yang ditangkap pada 16 September sebelum kemudiannya Anwar pula ditangkap.

“Di situlah tercetusnya reformasi. Kalau nak bicara soal reformasi saya yang sepatutnya dijemput untuk berucap pada malam esok (malam ini)… (Mereka) yang lain lari.

“Ramai pemimpin yang hari ini duduk dalam jemaah menteri tapi masa itu mereka lari ke luar negara, pergi ke Indonesia, Australia dan United Kingdom, saya boleh senaraikan nama mereka satu persatu,” katanya.

Selain itu Azmin membuat dakwaan bahawa kakitangan kerajaan akan dikerah untuk memenuhi stadium malam ini.

“Saya difahamkan kakitangan kerajaan akan dikerah untuk memenuhi stadium. Mengapa mereka perkhidmatan awam (dikerah) untuk mendengar ceramah politik yang sudah mati. Semangat reformasi yang sudah mati.

“Jangan heret anggota kerajaan untuk mendukung satu perjuangan palsu yang telah mengkhianati mandat rakyat. Reformasi sudah mati, sudah jadi reformati,” katanya lagi.

BACA JUGA Tular lagi kes hina Islam pada resit pesanan di restoran pizza