Dah macam ‘rombongan Cik Kiah’ nak angkut 68 penjawat awam ke Berlin, ramai puji PMX batalkan

Ketegasan Perdana Menteri mengarahkan pembatalkan rombongan 68 penjawat awam untuk menghadiri pameran kecil di Berlin, Jerman meraih pujian rakyat.

Ramai menyifatkan perancangan tersebut seperti rombongan ‘Cik Kiah’ merujuk pada drama popular era 1990-an bertajuk, “Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel” dan “Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya”.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk rombongan penjawat awam itu hanya untuk menghadiri pameran kecil walaupun tiket penerbangan dan hotel bagi semua penjawat awam itu sudah disediakan.

Menteri Kewangan itu berkata, pembatalan tersebut adalah sebahagian tindakan transformasi yang perlu dilakukan terhadap kementerian, agensi serta jabatan kerajaan hari ini.

“Transformasi dalam jabatan kerajaan, syarikat kerajaan dan agensi mesti berterusan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu (18 September) , kita mengambil keputusan tegas untuk semua syarikat dan agensi kerajaan.

PM Anwar dikerumuni penduduk tempatan yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam Puchong.

“Walaupun lembaga (pengurusan) berkuasa tetapi kadang-kala keputusan itu memihak kepada mereka.

“Semua lawatan, tugasan ke luar negara kementerian, syarikat dan agensi kerajaan perlu kelulusan Menteri,” ujarnya.

Anwar berkata demikian selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama kariah Masjid Darussalam Puchong, di Selangor hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa semua projek baharu dan lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan.

Perdana Menteri berkata, beliau harus bertegas kerana rombongan ke luar negara adalah membabitkan duit rakyat.

“Pembatalan melalui keputusan tegas ini akan menjadi mesej yang jelas (iaitu) menteri mesti membentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Biasanya kita akan membuat pemotongan kakitangan (rombongan), jika tak perlu atau tangguh untuk menjimatkan belanja,” ujarnya.

Ahli Parlimen Tambun itu menambah, dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Kementerian semalam turut menzahirkan ketegasan yang sama.

“Majoriti penjawat awam memahami dan menyokong. Pelanggaran sebegini tidak boleh diizinkan,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Selepas heboh Pas kena sindir, batal dah lumba kura-kura di Kelantan

Â