‘Muka ini juga yang nak pergi tolong Kedah esok!’
Perdana Menteri memberitahu beliau akan turun ke Kedah esok bagi meninjau keadaan terkini banjir di negeri dikuasai Pas itu.
Beliau juga akan melawat Kelantan bulan depan lantaran banyak projek untuk rakyat yang gagal disiapkan dalam tempoh sepatutnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Keadilan – Suara Rakyat Suara Keramat sebentar tadi.
“Besok pagi, InsyaAllah saya terbang ke Kedah. Projek di Kelantan banyak tidak terlaksana dengan baik, 1 Oktober, Insya-Allah saya sampai di Kelantan,” katanya.
Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Axiata Arena Bukit Jalil sempena himpunan bertemakan ‘Dari Reformasi Ke Malaysia Madani’.
Program itu bertujuan memperingati detik bermulanya era gerakan reformasi di negara ini yang dipelopori Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan selama 42 minit itu, Presiden PKR berkenaan turut mengulas mengenai desakan pembangkang agar beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Ada 30 orang… (minta) Anwar turun. Ingat, negara dia ke tiada ikut peraturan, tiada ikut hukum?
“Sidang Parlimen 14 Oktober depan, bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan. Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Tak payah jerit tengok penyokong. Kamu tu turun dulu.
“Banjir pun tak terurus. Muka ini juga yang nak pergi tolong Kedah esok!” tegas Anwar lagi mengulangi perancangannya untuk menjejakkan kaki di negeri diterajui Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu.
Untuk rekod, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berada di Jepun atas urusan rasmi ketika negeri Pas itu dilanda banjir dan ribut.
Bencana banjir di negeri itu semakin memburuk dengan jumlah mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus bertambah.
Mangsa banjir di enam daerah di negeri itu semakin meningkat kepada 7,103 mangsa daripada 2,274 keluarga setakat jam 11 malam tadi.
BACA JUGA Pembangkang diam ketika ringgit mengukuh, apa kata PM?