Ringgit melepasi ramalan pakar, dah cecah 4.20 malam tadi

Ringgit meneruskan momentum peningkatannya apabila kini dilaporkan sudah pun mencecah paras 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga petang semalam.

Ringgit kini berada di paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai antara mata wang berprestasi tinggi di rantau Asia.

Ia juga melepasi kebanyakan ramalan penganalisis yang menjangkakan ringgit hanya akan mencecah 4.20 pada penghujung tahun ini.

Pada 6 petang semalam, mata wang tempatan melonjak kepada 4.2025/2105 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2460 semasa ditutup pada Rabu.

Sementara itu memetik laporan Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus untuk tempoh berbaki tahun ini memandangkan keadaan monetari semasa yang menyokong pertumbuhan.

“Oleh itu, ringgit diunjurkan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

“MYR/USD pada masa ini adalah di sekitar paras sokongan segera. Sekiranya ia melepasi tahap ini, paras sokongan seterusnya akan berada pada RM4.0728,” katanya.

BACA JUGA Genap 26 tahun Reformasi: Himpunan Gerakan Rakyat di Bukit Jalil esok