10 pertuduhan salah guna duit derma RM1.5 juta babit pempengaruh Islamik
Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah menghadapi 10 pertuduhan salah guna wang derma bernilai lebih RM1.5 juta
Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani dan isterinya, Aisyah Hijanah bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Alif dan Aisyah didakwa secara bersama menyalahguna wang derma untuk pelbagai tujuan.
Kesalahan itu membabitkan 10 program sedekah iaitu pek makanan, kurma, korban, al-Quran dan set pakaian untuk orang miskin di Makkah serta Madinah, termasuk anak yatim, mangsa banjir di Pantai Timur.
Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza, antara Mei 2011 hingga Julai 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 setiap seorang, dengan seorang penjamin dengan syarat serahan pasport, dan lapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes.
Pada Jumaat lalu, Alif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin serta korban, berjumlah RM63,605.48 pada April dan Jun lalu.
Pada 11 Julai, pasangan itu ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa selepas tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber, bagaimanapun, mereka menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.
BACA JUGA Kekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan hingga PRU16, seru Chin Tong