Pemimpin politik dalam khutbah: 4 pegawai Jaim diambil tindakan termasuk dipecat
Empat pegawai termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah dikenakan tindakan tatatertib termasuk dipecat susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu, minggu lalu.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.
Dalam masa, katanya, JAIM memberi jaminan kesilapan seumpama itu tidak akan berulang, malah menganggap isu berkenaan sudah selesai, lapor BHarian.com.
Sebelum ini tersebar video teks khutbah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang memaparkan wajah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada khutbah yang diedarkan ke seluruh masjid dan surau Jumaat di Melaka.
Video itu biasanya disiarkan dilayar besar di masjid-masjid dan surau ketika khatib membaca khutbah pada hari Jumaat.
Ekoran itu, orang ramai kecoh bagaimana wajah pemimpin politik, apatah lagi pembangkang boleh berada pada teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri berkenaan.
Sehubungan itu, ramai yang mendakwa, ia dilakukan dengan sengaja oleh para penyokong sebuah parti politik agama yang ramai berada di dalam badan-badan agama di seluruh negara termasuk di Melaka.
BACA JUGA Ada “lubuk walaun” dalam Jabatan Agama Islam Melaka?