60% pelajar Tabika Kemas disasar hafaz 20 surah bila tamat, kata TPM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjangka seramai 140,000 kanak-kanak huffaz cilik bakal dilahirkan menerusi Program Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Pra-Tahfiz Kemas, menjelang 2026.
Zahid berkata, ia menyasarkan 60 peratus kanak-kanak Tabika Kemas menghafal 20 surah Juz Amma iaitu sehingga surah Ad-Duha.
Katanya, pada tahun ini program terbabit diperluaskan kepada 4,145 kelas Tabika Kemas membabitkan 62,175 kanak kanak di seluruh negara.
“Soal agama bukan milik parti politik atau individu, mengimarahkan agama bukan milik mana-mana organisasi tetapi ia adalah tanggungjawab pemimpin dan ummah. Soal agama bukan milik peribadi.
“Sebesar mana ulama dan ilmu tetapi kalau ilmu itu menyesatkan, ditunggangi apatah lagi agama menjadi pacuaan cita-cita politik insya-Allah tidak diizin (oleh Allah).
“Kita betulkan situasi itu. Laluan mesti benar bukan melencong, sebab itu kita tanamkan soal keagamaan ini di awal usia. Kemas bukan jabatan keagamaan tetapi mengambil inisiatif meletakkan kepentingan agama di awal usia supaya akidah tidak lari dari landasan.
“Soal ibadah bukan sahaja solat. Tetapi agama kelengkapan hidup. Mempelajari al-Quran walaupun niat ada, perlu ada kaedah pengajaran yang relevan dan sesuai dengan anak-anak yang kita santuni.
“Kemas telah saya sarankan mengunakan padagogi pembelajaran ‘fun learning’, pembelajaran mengingati ayat al-Quran yang anak-anak senang hafal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Program Pra-Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor di Kluang semalam.
BACA JUGA Pusat GISBH Country Homes sunyi sepi, menanti senyuman di wajah petugas