Pusat GISBH Country Homes sunyi sepi, menanti senyuman di wajah petugas
Biasanya, pusat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang terletak di Bandar Country Homes, Rawang penuh dengan aktiviti. Dari kafe, pusat bersalin, media hatta pusat berkudanya, penuh dengan orang ramai.
Namun, dalam kunjungan ke pusat aktiviti ini pada 22 September iaitu sehari selepas pusat ini diserbu, bandar ini umpama di serang garuda, sunyi sepi.
Semua kedai dan pusat aktiviti di sini dilingkungi pita kuning yang tertulis ‘dilarang masuk’.
Sampah yang berupa daun-daun yang berguguran memenuhi kawasan ini terutama di kawasan letak kereta.
Bas dua tingkat yang menjadi kebanggaan dan kemegahan GISB juga tersadai di tepi jalan (gambar bawah).
SERBU
Pusat aktiviti GISBH, bekas pengikut Al Arqam ini diserbu oleh pihak berkuasa pada subuh 21 September lalu.
Seramai 50 pegawai dan 200 anggota Polis Kontinjen Selangor serta Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) melakukan serbuan di Bandar Country Homes, Rawang Subuh 21 September yang menempatkan banyak premis perniagaan dimiliki rangkaian GISBH.
Serbuan besar-besaran bermula jam 6.30 pagi itu turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Pelbagai pusat perniagaan diperiksa termasuk restoran, bengkel kereta, kedai pakaian terpakai, pencetakan, pasar raya dan kedai bakeri.
Turut digempur pusat khidmat media, hotel, butik, galeri dan bentuk perniagaan lain yang semuanya menggunakan nama GISBH.
KUNJUNGAN
Penulis yang kebetulan tinggal berhampiran dengan Country Homes pernah dua kali datang ke pusat ini sebelum ini. Tujuannya adalah menikmati sarapan pagi di cafe dan gerai mereka.
Pelbagai jenis makanan ditawarkan di sini dengan suasana dan dekorasi yang menarik.
(Gerai Laman Ikhwan yang menjadi tarikan orang awam sebelum ini kini dilitupi dengan pita kuning ‘dilarang masuk’)
Namun satu sahaja yang pelik, tidak ada senyuman di wajah petugas mereka. Wajah petugas mereka penuh ketegangan dan jarang sekali tersenyum.
Selepas pendedahan baru-baru ni, baru difahami kenapa pengunjung jarang menerima senyuman dari petugas di sini walaupun wajahnya tampan dan gadisnya cantik.
Pada awalnya, penulis mengira memang menjadi etika kepada petugas untuk tidak memberikan senyuman kepada pelanggan.
Namun, dengan pendedahan polis dan lain-lain pihak, baru difahami bahawa kebanyakan petugas ini tidak mendapat gaji sebagaimana biasa tetapi semua keperluan mereka ditanggung oleh majikan mereka.
Walaupun bertugas tanpa senyuman dan tiada kemesraan,namun kelihatan mereka bertugas dengan cekap dan melengkapi keperluan sebuah organisasi perniagaan.
Ada tukang susun makanan, penjaga kaunter, pembuat roti canai, tukang bancuh air dan sebagainya.
Tukang sapu dan pengangkut sampah juga ada di kalangan mereka menyebabkan suasana keseluruhan kawasan GISBH ini kelihatan kemas dan bersih.
Adalah diharapkan kuda,burong-burong serta arnab yang mereka ternak ada penjaganya atau sekurang-kurangnya ada pihak yang memberi makan.
Biarlah selepas dibuka semula nanti ada senyuman di wajah petugas kedai makan, penjaga kuda dan juga petugas lain di pusat yang dibentuk atas nama agama ini.
BACA JUGA Ada “lubuk walaun” dalam Jabatan Agama Islam Melaka?