Individu buat kecoh turunkan bendera Malaysia, naikkan bendera Sabah, Sarawak

Sekumpulan individu yang bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera negeri Sabah dan Sarawak mengundang kecaman ramai.

Perbuatan menggantikan bendera negara dengan dua bendera negeri itu dikatakan sebagai protes kerana ‘penjajahan Malaysia’ ke atas Sabah dan Sarawak.

Dalam satu video dimuat naik Facebook DemiRakyat Channel, sekumpulan individu berkumpul di hadapan bangunan Parlimen Victoria yang terletak di Melbourne, Australia sambil menurunkan bendera Malaysia.

Ia dipercayai sebagai simbolik kepada ‘menurunkan’ penjajahan Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Tindakan menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada separuh tiang didakwa sebagai protes untuk menyampaikan mesej mereka mengenai penjajahan terhadap kedua-dua negeri tersebut.

Kumpulan itu turut menyanyikan lagu Sabah Tanah Airku yang diubah lirik dari ‘negeri’ kepada ‘negara’.

“Mohon polis siasat apa masalah dia orang ni,” kata pengendali laman Facebook terbabit.

Dalam video itu, tertera kapsyen tertulis “Orang Borneo Utara dan orang Sarawak mula sudah sedar tentang perjuangan kemerdekaan Borneo Utara dan Sarawak”.

Sementara itu di ruangan komen, ramai rakyat Borneo yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut dan membantah  tuduhan penjajahan Malaysia.

Mereka meminta pihak berkuasa menyelidiki latar belakang kumpulan terbabit yang kemungkinan bukan keturunan asal Sabah dan Sarawak .

BACA JUGA 10 pertuduhan salah guna duit derma RM1.5 juta babit pempengaruh Islamik